Assalamualaikum,
Mendidik anak-anak pada zaman sekarang bukannya satu perkara yang mudah. Pelbagai macam cabaran dan dugaan dan harus ditangani dengan bijak oleh ibu dan bapa. Mendidik pada masa ini bukan sahaja terletak di atas tanggungjawab seorang isteri tetapi ia juga menjadi tanggungjawab sang suami. Tetapi sayang pada zaman moden ini ada juga sang suami yang masih meletakkan tanggungjawab menjaga dan mendidik anak di atas bahu isteri seolah-olah hendak melepaskan beban dan tanggungjawab mereka (suami).
Menjaga dan mendidik anak yang semakin membesar banyak cabaran dan dugaan sehinggakan kekadang mencabar kekuatan jiwa dan iman. Dikurniakan tiga orang cahayamata yang sedang meningkat remaja begitu kuat cabaran dan dugaannya untuk ku. Apa yang difikirkan sekarang ini adalah bagaimana untuk membentuk peribadi dan sahsiah anak-anak ku ini agar kelak menjadi hamba Allah yang taat kepada suruhannya dan berjaya di dunia mahupun akhirat. Teringat kata-kata dan doa seorang pensyarah kepada anak-anak ku agar rajin belajar supaya kelak besar nanti boleh menjadi seorang "Alim Ulama Yang Hebat" telah membuatkan aku menitiskan airmata kerana aku juga pernah berharap agar suatu hari nanti anak-anak menjadi salah seorang insan yang boleh membimbing dan menyedarkan umat Nabi Muhammad SAW daripada tersesat. Setiap hari selepas solat aku akan mendoakannya. Amin!
Demi untuk membentuk peribadi insan yang mulia/baik banyak perkara harus aku korbankan. Bagi aku untuk mendidik anak jadi elok haruslah bermula dari ibu bapa itu sendiri. Bagaimana nak suruh anak pakai tudung sedangkan ibu pun tak pakai tudung. Bagaimana kita nak anak membuat perkara yang baik sedangkan ibu bapa sendiri tidak melakukannya. Pengorbanan besar yang aku lakukan ialah cuba membuang sifat-sifat Mazmumah yang ada pada diri sendiri. Kemudian dalam mendidik anak-anak pula aku mengajar agar mereka juga cuba membuang sifat itu. Kiranya sifat-sifat itu berjaya kita kikis atau hapuskan dari dalam diri kita nescaya kita akan bahagia dalam hubungan kekeluargaan.
Hati oh Hati..penyakit Hati ini amat sukar dihapuskan..
Hati-hati yang busuk dan kotor yang sukar disucikan inilah yang boleh menyebabkan hubungan pincang..
Lidah oh Lidah..ni bukan penyakit lidah tapi jika kita tidak menjaga lidah ia juga boleh menyebabkan hubungan pincang, porak peranda dan macam-macam. Racun lidah ini lebih bisa dari semua bisa yang ada didunia ini.
Ya Allah berikanlah aku kekuatan jiwa dan ketabahan hati didalam mendidik anak-anak ku. Berikanlah aku juga kekuatan iman untuk aku menghadapi pelbagai cubaan dan dugaan Mu.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment