Sunday, 11 September 2011

CINTA KITA

Assalamualaikum! suara orang memberi salam dari luar rumah.  Aku bergegas bangun seraya menjawab salam.  Kedatangan Ana telah memeranjatkan aku kerana hubungan aku dan Ana kebelakangan ini agak renggang.  Ada apa kau datang ke sini? tanya ku pada Ana dengan agak kasar.  Kedatangan Ana pada hari ini adalah  untuk memberitahu aku tentang Rizuan. Kenapa dengan Rizuan, Ana? tanya ku memaksa.  Akhirnya Ana memberitahu bahawa Rizuan telah tiada lagi.  Aku terperanjat seperti tidak percaya apa yang telah aku dengar.  Ana! betulkan apa yang kau cakapkan ni?  Dari raut wajah Ana aku pasti apa yang dikatakannya adalah benar dan bukannya gurauan.  Ana menceritakan segala yang berlaku pada aku.  Rizuan meninggal kerana terbabit dalam kemalangan jalan raya semasa dalam perjalanan untuk menemui ku.  Ya Allah!!! apakah ini dugaan ku.  Aku bagaikan tidak percaya bahawa Rizuan yang aku kenali telah tiada   baru semalam kami makan bersama.  Ana juga memberitahu bahawa kedatangan Rizuan untuk menemui ku adalah untuk menjelaskan segalanya yang berlaku.  Rizuan tetap mencintai kau, itulah kata-kata Ana pada aku hari itu.  Di dalam hati kecilku, aku juga turut merasa bersalah di atas kematiannya kerana aku dan Rizuan telah bertengkar semalam..selepas makan malam bersama.  Pada malam itu Rizuan telah meluahkan isi hatinya pada aku tapi aku menolak cintanya dengan alasan Ana lebih berhak.  Rizuan cuba menjelaskan bahawa dia tidak mencintai Ana kerana dia amat mencintai aku dan berhasrat untuk melamarku.  Aku menolak kerana tidak mahu dituduh merampas Rizuan.  Sebenarnya aku, Ana dan Rizuan adalah kawan baik, kemana sahaja kami pergi mesti bertiga.  Hubungan kami menjadi lebih mesra sehingga timbulnya rasa sayang antara Ana, Rizuan dan aku.  Bukan aku tidak menyukai Rizuan tetapi kerana aku tahu Ana lebih suka pada Rizuan maka aku terlebih dulu menarik diri.  Tak sangka pula dalam diam Rizuan lebih menyukai aku.  Rizuan yang aku kenali seorang yang peramah, periang, tidak mengongkong, baik dan hormat orang tua.  Boleh dikatakan Rizuan memang lelaki idaman aku tetapi aku tidak sanggup untuk memutuskan persabahatan yang telah sekian lama wujud.  Aku mengalah dan pasrah.  Akhirnya aku dan Ana terputus hubungan.  Selepas saja Ana ke rumah aku untuk memberitahu berita sedih itu dia terus ke KLIA untuk ke Amerika Syarikat melanjutkan pelajarannya.  Aku sekali lagi pasrah dua sahabat yang aku kasihi telah pergi meninggalkan aku.  Walaupun Ana pergi hanya untuk sementara waktu sahaja tetapi pemergiaannya amat kurasakan.  Meskipun Ana telah menerima apa yang terjadi, aku tahu sememangnya Ana amat mencintai Rizuan.  Pemergiannya itu telah membuktikan bahawa dia juga mencintai Rizuan dan tak sanggup untuk melupakan Rizuan setelah apa yang berlaku.  Ana tidak pernah berutus surat dengan ku semenjak dia di Amerika.  Mungkin Ana merasa bersalah atau mungkin juga dia memarahi aku, yang pasti aku sendiri tidak tahu kenapa.  Kini setelah hampir setahun pemergian Rizuan namun kenangan kami bertiga tidak dapat dilupakan.
Hai! Mengelamun apa tu Akma?  Aku dikejutkan oleh panggilan Rita.  Sebenarnya aku terkenangkan Rizuan dan Ana.  Masih tidak dapat melupakan Rizuan walaupun sudah setahun berlalu namun peristiwa itu tetap segar dalam ingatanku.  Maafkan aku Rita.  Kataku pada Rita kerana tidak menyedari kehadirannya.  Selepas kehilangan 2 sahabat Ritalah menjadi temanku.  Rita menggantikan Ana yang sekian lama menyepi.  Rita teman sekuliah ku.  Kehadiran Rita dalam hidupku dapat mengisi kembali kesepian yang telah lama terpendam.  Kami boleh dikatakan seperti belangkas ke mana saja pergi mesti berdua tetapi kekadang kami juga seperti anjing dan kucing, bergaduh seketika dan kemudian berbaik semula.  Kami ibarat air yang dicincang tak akan putus.  Suatu hari sedang aku minum di kafeteria Rita datang menyapa bersama dengannya seorang lelaki tampan.  Akma, tengok ni siapa aku bawa.  Siapa? tanya ku pada Rita yang sememangnya aku tidak mengenali lelaki itu.  Kenalkan ini Ridzuan yang pernah aku ceritakan pada kau tempoh hari balas Rita.  Siapa? Ridzuan!!! Aku terkejut apabila nama Ridzuan disebutkan dan aku seperti tidak percaya apa yang aku dengar..terasa seolah-olah Rizuan menjelma dihadapanku.  Akma! kenapa dengan kau ni. Rita menegur.  Tak ada apa-apa cuma...aku meninggalkan Rita dan Ridzuan dengan seribu persoalan.  Aku bangun dan terus meminta diri untuk balik ke kamar.  Rita dan Ridzuan seperti terkilan dengan tindakan aku.


Seperti yang aku jangkakan Rita akan mendapatkan penjelasan aku tentang apa yang berlaku petang semalam. Akma, kenapa kau berkelakuan seperti itu semalam.  Kau seolah-olah tidak suka kunjungan aku dan Ridzuan.  Pertanyaan Rita yang agak kasar itu membuatkan aku terdiam seketika sebelum menyambung kata-kata.  Rita, aku tidak mahu tragedi lama berulang kembali.  Rita tidak mengerti apa yang aku maksudkan dan aku terus bercerita.  Mendengar cerita aku Rita terdiam tetapi dengan suara yang perlahan Rita memberitahu aku bahawa Ridzuan menaruh minat terhadap ku.  Rita juga menjelaskan bahawa dia dan Ridzuan adalah saudara sepupu.  Rupa-rupanya Ridzuan telah lama memerhatikan aku dari jauh cuma dia takut untuk menghampiri ku.  Setelah mengetahuinya aku menjadi malu sendiri terdetik dihati ada juga orang yang sudi berkawan dengan aku yang tak seberapa ni.  Bermula dari itu berlakulah satu peristiwa ... ia berlaku dengan Rita mula mengajak ku keluar menonton teater di Panggung Budaya dan aku entah macam mana boleh setuju.  Dalam diam rupa-rupanya Rita dan Ridzuan sudahpun buat perancangan yang aku tidak tahu.  Petang itu aku dan Rita bersiap hendak ke Panggung Budaya setelah siap kami pun bertolak, Rita memandu manakala aku hanya duduk di sebelah sahaja.  Setelah sampai dan masuk ke dalam untuk mencari tempat duduk aku tiba-tiba terkejut apabila terpandang seseorang. Lelaki yang duduk bersebelahan dengan kerusi aku nampaknya seperti Ridzuan..tapi betulkah dia.  Aku menjadi keliru bagaimana pula Ridzuan boleh berada di sini.  Di sebelahku Rita dan kananku pula Ridzuan, aku menjadi syak dan mula bertanya pada Rita tetapi Rita hanya tersenyum sinis memandangku.  Melihat saja senyuman Rita aku dapat tahu yang mereka berdua telah berpakat.  Pandai Rita mengenakan aku.  Apapun aku pasti tujuan Rita itu baik dan ikhlas.  Mencari jodoh untuk aku katanya.  Usai sahaja tayangan teater kami pun keluar, aku dan Rita bergerak ke kedai Mamak dan semestinya Ridzuan pun turut serta.  Kami bertiga berbual yang kebanyakkan perbualan pada malam itu menjurus kepada aku dan Ridzuan.  Rita cuma sesekali menyampuk mungkin ingin memberi ruang kepada abang sepupunya itu. Sejak dari itu Ridzuan sudah mula tidak kekok bila bersama aku dan aku pun begitu. Apabila bersama Ridzuan aku merasa bahagia sepertimana yang pernah aku rasakan bila bersama Rizuan suatu masa dahulu.  Ridzuan yang baru kini tidak banyak bezanya dari Rizuan yang telah mengadap Ilahi.  


Setelah hampir 6 bulan berkenalan barulah berputik perasaan cinta terhadap Ridzuan.  Memang kami ada keserasian dan kesempatan ini diambil oleh Ridzuan untuk meluahkan segala isihatinya kepada ku.  Ternyata cintanya begitu tulus dan ikhlas terhadap ku..aku seperti tidak dapat menolak.  Aku tidak mahu kehilangan insan yang bernama Ridzuan untuk kali kedua.  Selama 6 bulan juga kami hangat bercinta akhirnya kata sepakat diambil kami bersedia untuk mendirikan rumah tangga.  Apabila keputusan dari kedua-dua belah pihak diperolehi maka bersaksilah pada tarikh 1 Mei 1990 aku dan Ridzuan diijabkabulkan menjadi suami isteri yang sah.  Tarikh ini menjadi tarikh keramat yang tak mungkin aku dan Ridzuan lupakan. Terima kasih Ya Allah kerana mempertemukan aku dengan insan yang sama telah kau ambil.  KAU telah menggantikannya dengan yang lebih baik untuk diriku.


Nukilan ini telah dihasilkan pada penghujung 1990.





No comments:

Post a Comment